Ketumbit merupakan masalah mata yang biasa dialami oleh ramai orang. Ia muncul sebagai benjolan merah kecil di tepi kelopak mata dan biasanya terasa sakit serta menyebabkan rasa tidak selesa. Walaupun nampak seperti masalah kecil, ketumbit boleh mengganggu rutin harian jika tidak dirawat dengan betul.
Dalam artikel ini, kami kongsikan informasi lengkap tentang ketumbit, termasuk punca, simptom, dan cara merawatnya dengan mudah di rumah.
Apa Itu Ketumbit?

Ketumbit, atau nama perubatannya hordeolum, ialah jangkitan pada kelenjar minyak di kelopak mata. Ia disebabkan oleh bakteria Staphylococcus aureus yang masuk ke dalam folikel bulu mata atau kelenjar minyak dan menyebabkan keradangan.
Punca Utama Ketumbit
Antara faktor yang menyebabkan ketumbit termasuk:
- Menyentuh atau menggosok mata dengan tangan yang kotor
- Tidak menanggalkan solekan mata sebelum tidur
- Pemakaian kanta sentuh yang tidak bersih
- Masalah kulit seperti blepharitis (keradangan kelopak mata)
Simptom Ketumbit Yang Perlu Anda Tahu
Ketumbit biasanya muncul secara tiba-tiba dan boleh dikenalpasti melalui:
- Benjolan merah pada kelopak mata (atas atau bawah)
- Rasa sakit, pedih, atau gatal pada mata
- Bengkak pada kelopak mata
- Mata berair atau sensitif pada cahaya
- Rasa seperti ada benda asing di mata
Cara Mudah Merawat Ketumbit di Rumah
Berita baiknya, ketumbit boleh dirawat di rumah jika ia masih pada tahap awal. Berikut beberapa langkah mudah yang boleh anda cuba:
1. Kompres Suam
Letakkan kain bersih yang direndam air suam ke atas mata selama 10-15 minit, 3-4 kali sehari. Ia membantu membuka pori dan mempercepatkan penyembuhan.
2. Jaga Kebersihan Mata
Elakkan sentuh mata dengan tangan yang kotor. Pastikan muka dan mata sentiasa bersih.
3. Jangan Picit Ketumbit!
Memicit ketumbit boleh menyebabkan jangkitan menjadi lebih teruk dan merebak.
4. Elakkan Solekan dan Kanta Sentuh
Berhenti menggunakan solekan mata atau kanta sentuh sehingga ketumbit sembuh sepenuhnya.
Baca tentang Kecantikan disini : Makeup Lama Dalam Beg Anda? Ini Risiko Kepada Kulit Wajah Anda
5. Gunakan Ubat Titik Mata Antibakteria
Jika perlu, boleh gunakan ubat titik mata atau salap antibiotik seperti yang disarankan oleh doktor.

Bila Perlu Jumpa Doktor?
Ketumbit biasanya sembuh sendiri dalam 7–10 hari. Namun, anda perlu berjumpa doktor jika:
- Bengkak makin besar atau sakit semakin teruk
- Penglihatan menjadi kabur
- Ketumbit berulang atau tidak sembuh selepas seminggu
- Kelopak mata menjadi sangat merah atau bernanah
Cara Mencegah Ketumbit
- Basuh tangan sebelum menyentuh mata
- Bersihkan solekan sebelum tidur
- Tukar tuala muka dan sarung bantal secara berkala
- Guna produk solekan mata yang bersih dan tidak melepasi tarikh luput
- Amalkan kebersihan ketika memakai dan membuka kanta sentuh
Kesimpulan
Walaupun ketumbit kelihatan seperti masalah kecil, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan yang ketara. Dengan penjagaan rapi dan rawatan yang betul, anda boleh merawat dan mencegah ketumbit dari berulang. Amalkan kebersihan mata dan elakkan tabiat yang boleh membawa kepada jangkitan.
Lebih banyak artikel menarik disini : Ketumbit Mata Sebab Mengintai? Ini 7 Fakta Yang Betul