Pernahkah anda mengalami situasi di mana setiap kali hendak makan, tiba-tiba terasa pedih yang amat sangat di dalam mulut? Itu mungkin disebabkan oleh ulser mulut. Walaupun kecil, ulser ini boleh memberi kesan besar terhadap selera makan dan keselesaan harian anda.
Ulser mulut ialah luka kecil berwarna putih atau kekuningan yang muncul di dalam rongga mulut — sama ada di lidah, pipi bahagian dalam, gusi atau bibir. Ia bukan hanya menyakitkan, malah boleh menyukarkan seseorang untuk bercakap, makan dan minum. Artikel ini akan kongsikan beberapa punca ulser mulut dan bagaimana anda boleh meredakan serta mengelakkannya daripada berulang.
Apa Punca Ulser Mulut?

Terdapat beberapa sebab utama berlakunya ulser mulut, antaranya:
- Kekurangan vitamin B12, zat besi atau asid folik
- Tekanan emosi dan keletihan fizikal
- Luka akibat tergigit bahagian dalam mulut
- Makanan yang terlalu pedas, panas atau berasid
- Perubahan hormon (seperti semasa haid)
- Reaksi terhadap ubat atau tanda awal penyakit tertentu seperti lupus dan penyakit Crohn
Baca tentang Kesihatan Tubuh Badan disini : Zat Besi dan Kesihatan Wanita: Jangan Pandang Remeh!
Kebiasaannya, ulser mulut akan sembuh sendiri dalam tempoh satu hingga dua minggu. Namun begitu, rasa sakit yang dialami semasa makan boleh menyebabkan hilang selera.
Makan Pun Sakit? Cuba Tips Ini!
Jika ulser mulut membuatkan waktu makan menjadi sengsara, berikut beberapa tip mudah yang boleh membantu:
1. Pilih Makanan Lembut dan Sejuk
Bubur, aiskrim, yogurt dan susu sejuk boleh mengurangkan rasa sakit ketika dikunyah.
2. Elakkan Makanan Pedas, Masam dan Keras
Sambal, makanan bergaram tinggi dan jeruk boleh mencederakan kawasan ulser.
3. Guna Penyedut Minuman (Straw)
Minum dengan straw dapat mengurangkan sentuhan minuman dengan bahagian yang sakit.
4. Berkumur Dengan Air Garam Suam
Ini membantu membersihkan kawasan ulser dan mempercepatkan proses pemulihan.
5. Gunakan Ubat Sapuan Khusus
Dapatkan ubat ulser di farmasi yang boleh melegakan kesakitan secara sementara.

Cara Mencegah Ulser Mulut Berulang
Lebih baik mencegah daripada merawat. Untuk mengelakkan ulser mulut daripada berulang, amalkan langkah berikut:
- Pastikan pengambilan vitamin dan zat makanan mencukupi
- Kurangkan stres melalui aktiviti santai seperti senaman ringan
- Jaga kebersihan mulut dengan memberus gigi dua kali sehari
- Gunakan berus gigi yang lembut dan elakkan tergigit mulut sendiri
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Sekiranya ulser mulut tidak sembuh selepas tiga minggu, semakin membesar, berdarah atau disertai dengan demam dan pembengkakan, anda perlu mendapatkan nasihat doktor segera. Kadang kala ia mungkin tanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius.
Jangan abaikan isyarat tubuh anda. Rawat ulser mulut dari awal supaya anda boleh makan dan hidup dengan lebih selesa!
Lebih banyak artikel menarik disini : 6 Ubat Ulser Mulut Popular Pada Tahun 2024: Ada Jenis Gel, Patch & Spray!














